KUALA KANGSAR, 31 Mac — Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang gagal menjaga kebersihan di premis mereka bermula bulan depan.

Yang Dipertua Datuk Shahrom Abd Malik berkata langkah itu bagi mengurangkan kos pengurusan sampah MPKK yang pada masa ini sekitar RM8.5 juta setahun.

Selain kompaun, peniaga juga bakal berdepan dengan tindakan disenarai hitam untuk pembaharuan lesen perniagaan, katanya pada kempen ‘Perak yang Bersih’ di sini hari ini.

Beliau berkata pada masa ini MPKK menguruskan 120 tan sampah setiap hari termasuk lapan tan dari dua pasar iaitu pasar petang Jumaat dan pasar pagi di Lembah.

“Sikap pengunjung dan peniaga menyumbang kepada penghasilan sampah yang banyak dan kami mahu memastikan dua pasar berkenaan menjadi pasar bersih menjelang pertengahan tahun ini,” katanya.

— BERNAMA