Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan jemaah haji Malaysia sentiasa menjaga displin ketika menunaikan ibadah haji di Makkah.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Bagan Datuk itu turut mengingatkan kesemua jemaah yang menunaikan rukun kelima Islam itu untuk mengetepikan sebarang perbezaan ideologi dan menumpukan kepada ibadah mereka di Tanah Suci itu.

Katanya, para jemaah haji Malaysia sewajarnya menggunakan peluang tersebut untuk menunaikan haji dengan sepenuhnya dan melupakan perbezaan fahaman politik mereka.

“Kalau kita ada perbezaan politik,ideologi kita jangan bawa ke sana (Makkah) kita tinggalkan di belakang, kita tumpukan pada ibadah haji. Saya tak izinkan bergaduh sebab perkara ini di sana,”katanya dalam ucapan beliau.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Meraikan Bakal-bakal Haji kawasan Parlimen Bagan Datuk Tahun 1438H/2017M bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Dato’ Mohamed Jamrah,Batu 17,Sungai Sumun,Perak di sini hari ini.

Jelasnya, Malaysia dikenali dengan pengurusan jemaah haji terbaik di seluruh dunia justeru pengiktirafan itu sewajarnya dipelihara dengan baik.

Dalam majlis berkenaan, seramai 72 jemaah haji Parlimen Bagan Datuk menerima sumbangan RM570 daripada Dr Ahmad Zahidi sebagai persiapan belanja untuk menunaikan haji di Tanah Suci.