PENGKALAN HULU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa sempadan bagi mengekang penyeludupan minyak masak paket 1kg bersubsidi ke selatan Thailand.

Ketua Seksyen Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Mohd Sakhri Mohd Salleh berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) bagi mempertingkatkan kerjasama dalam memantau pergerakan barangan kawalan itu.

“Selain Aksem, kerjasama bersama PDRM, Jabatan Imigresen dan kastam di pintu sempadan diperhebatkan bagi membendung aktiviti itu.

“Selain itu, kita akan membuat pemantauan di kedai-kedai di kawasan sempadan bagi memastikan tiada penyelewengan berlaku. Pemeriksaan seterusnya akan dibuat ke pemborong dan pengilang minyak masak ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas membuat tinjauan di premis sekitar Pengkalan Hulu di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan itu.

“Individu, peniaga mahupun pemborong akan berhadapan dengan tindakan mahkamah dan lesennya akan ditarik sekiranya didapati terlibat dengan aktiviti itu.

“Minyak masak bersubsidi merupakan barang yang dikawal kerajaan bagi meringankan kos sara hidup rakyat. Justeru, tindakan tegas akan diambil mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Mohd Sakhri berkata, KPDNHEP juga tidak menerima sebarang aduan berkaitan kekurangan bekalan minyak masak di daerah Hulu Perak itu.

“Tinjauan hari ini mendapati tiada masalah berhubung bekalan minyak masak dan kita tidak nampak kegiatan pembelian yang panik setakat ini.

“Bagaimanapun, kita minta pengguna untuk salurkan maklumat dengan menghubungi pejabat KPDNHEP berhampiran sekiranya terdapat aktiviti yang mencurigakan membabitkan barang kawalan berlaku di tempat mereka,” katanya – sinar harian