PETALING JAYA: Bekas pengurus syarikat Imadi Pet didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdaya seorang pelanggannya berhubung pelaburan kucing baka ‘maincoon’, yang tidak wujud membabitkan kerugian RM240,400, dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Zaidi Musa, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurshahirah Abdul Salim.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan Abdullah Sani Suleiman, 62, untuk mempercayai pelaburan pembiakan kucing baka ‘maincoon’ yang dijalankan syarikat Imadi Pet Global Sdn Bhd adalah wujud sehingga mangsa menyerahkan wang RM240,400 ke dalam akaun milik syarikat menjual haiwan peliharaan itu.

Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan di CIMB Bank Serdang Perdana Seri Kembangan, di sini, pada 2 September 2016 dan 4 Oktober 2016.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy, menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela memohon jaminan ringan atas alasan dia tidak bekerja sejak Ogos tahun lalu, selepas syarikat tempatnya ditutup.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah serta menetapkan 27 April sebagai sebutan semula kes – berita harian