KUALA LUMPUR : Adun Ayer Lanas, Mustapa Mohamed dilihat sebagai pilihan terbaik mengisi kekosongan jawatan menteri pendidikan selepas Dr Maszlee Malik mengundurkan diri.

Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Shamsul Amri Baharuddin berkata ini memandangkan kedudukan menteri pendidikan diperuntukkan untuk anggota parlimen daripada Bersatu.

“Memandangkan ia kuota Bersatu, Mustapha pilihan terbaik. Beliau pernah menjadi menter pengajian tinggi sebelum ini.

“Beliau juga bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa yang memberi nilai tambah kepada kabinet dan pelabur asing.

“Ini kerana beliau mempunyai pengalaman dalam menstabilkan sentimen pasaran,”

Mustapha menjadi menteri pengajian tinggi dari 2006 ke 2008 dan menteri perdagangan dan industri antarabangsa dari 2009 ke 2018.

Beliau keluar Umno selepas PRU14 dan secara rasmi menyertai Bersatu pada 27 Oktober 2018.

Sementara itu, bekas timbalan menteri pendidikan P Kamalanathan, berkata kementerian itu sukar diterajui kerana beberapa sebab termasuk melibatkan ramai pihak berkepentingan.

“Dua orang yang mempunyai gabungan bakat, hala tuju dan pengalaman yang tepat ialah Menteri Luar sekarang Saifuddin Abdullah dan bekas menteri perdagangan dan industri antarabangsa Mustapha Mohamed. Mereka mendahului senarai saya.

“Sudah tentu ia suatu kementerian yang sukar untuk dipimpin. Terdapat banyak sebab tetapi terdapat pihak berkepentingan yang besar, ibu bapa, pelajar sekolah dan pihak dalam pendidikan tinggi, dengan mudah akan mencatat jumlah 12 hingga 14 juta orang,” katanya.

Ini menjadikan hampir tidak munasabah bagi seorang menteri pendidikan memuaskan hati semua orang, jelasnya. Di samping itu, beliau berkata dasar pendidikan sering dilihat daripada perspektif kaum dan bukan akademik.

“Ini menjadikan kerja keras itu bertambah sukar kerana kerjaya kepimpinan perlu menangani masalah ini dan bukannya mentadbir,” katanya ketika dihubungi

Kamalanathan berkhidmat sebagai timbalan menteri pendidikan dari 2013 ke 2018, di bawah kabinet era perdana menteri Najib Razak.

Untuk rekod, Saifuddin yang pernah menjadi timbalan menteri pengajian tinggi dari 2009 ke 2013 telah menolak spekulasi beliau akan dilantik sebagai menteri pendidikan bagi menggantikan Dr Maszlee.