PUTRAJAYA, 10 JAN : Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam tadi.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri itu, Mustapa yang dikenali Tok Pa menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik sahaja tiba di Kota Bharu dari Kuala Lumpur pada pagi semalam.

Katanya, beliau telah dimasukkan ke wad Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, Kelantan pada pukul 10.30 malam tadi untuk pemantauan dan keadaannya stabil.

“Pada 1 Januari lalu beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 dan keputusannya adalah negatif.

“Beliau memohon maaf di atas kesulitan yang timbul akibat daripada perkara ini dan memohon agar semua pihak berdoa kepada Allah SWT memudahkan urusan kita semua,” katanya hari ini. – UTUSAN ONLINE