ALOR SETAR: Tokoh politik Kedah yang juga veteran UMNO, Tan Sri Khalid Abdullah, meninggal dunia akibat sakit tua di Kedah Medical Centre (KMC) di sini, hari ini.

Allahyarham Khalid, 98, meninggal dunia jam 5.50 pagi ini, selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu, Ahad lalu.

Isteri Allahyarham, Puan Sri Norjannah Khairuddin, 61, berkata sejak Jumaat lalu, suaminya sudah tidak boleh makan.

JENAZAH tokoh politik Kedah yang juga veteran UMNO Allahyarham Tan Sri Khalid Abdullah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Hussain untuk dikebumikan hari ini. - Foto BERNAMA
JENAZAH tokoh politik Kedah yang juga veteran UMNO Allahyarham Tan Sri Khalid Abdullah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Hussain untuk dikebumikan hari ini. - Foto BERNAMA

“Pada Sabtu, kesihatannya semakin merosot menyebabkan pada Ahad, kami menghantar arwah ke hospital dan terus dimasukkan ke ICU.

“Arwah tiada apa-apa sejarah penyakit cuma petang semalam arwah mengadu penat. Pada jam 5 pagi tadi, ketika jururawat hendak memeriksa tekanan darah, arwah dah tak bagi tindak balas,” katanya ketika ditemui di Masjid Al Hussain Seberang Pumpong di sini, hari ini.

Khalid yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Merah (1975-1980) pernah memegang jawatan antaranya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Tokoh Maal Hijrah 2008 itu, meninggalkan seorang balu, lima anak (seorang sudah meninggal dunia), 17 cucu dan 24 cicit.

Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Hussain, di sini selepas Zohor tadi. – BERNAMA