KUALA KANGSAR – Satu daripada 18 tong mengandungi bahan polimer sintetik dibawa sebuah treler yang mengalami kebocoran di Kilometer 255 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara di sini hari ini, disahkan bukan bahan kimia.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Mohd Taufiq Abdul Satar berkata, pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Putih membantu mengawal tumpahan itu dan mendapati bahan berkenaan tidak diklasifikasikan sebagai bahan kimia.

“Ia juga disahkan Jabatan Alam Sekitar. Pasukan Hazmat meneutralkan bahan berkenaan dan mengalirkannya ke parit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, tiada kebocoran berlaku pada tong lain.

Mohd Taufiq berkata, sepasukan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan bahawa satu tong yang dibawa treler dalam perjalanan dari Selangor ke Taiping mengalami kebocoran kira-kira 10 pagi tadi. – Bernama