HOBI mengumpulkan barangan edisi terhad khususnya yang bernilai tinggi boleh dianggap suatu budaya di seluruh dunia.

Selain mencari nikmat kepuasan, hobi mengumpul barangan seperti jam tangan, beg tangan, koleksi setem, kenderaan, mata wang serta permainan menjadi medium untuk menenangkan fikiran selain menambah kenalan baharu di ‘dunia’ sama.

Begitu juga kisah pengumpul topi keledar keselamatan dari seluruh dunia yang berasal dari Terengganu apabila berjaya menjual topi keledar pada harga RM48,000.

Kisahnya menjadi tular di laman sosial ‘Facebook’ baru-baru ini apabila akaun sosial miliknya ‘Kory Cobblestone’ mendapat 445 kongsian,166 komen daripada netizen selain menerima lebih 1100 ‘likes’ dalam tempoh hanya enam jam ketika memuat naik topi keledar edisi terhad berkenaan.

Menurut pemilik akaun laman sosial yang hanya mahu dikenali sebagai Kory, dia mendapatkan topi keledar jenama Shoei edisi ‘Jack’ kuning itu melalui kenalan sebelum berjaya menjualnya kepada pengumpul barangan permotoran dari Kelantan.

Katanya, sebelum terjual ada beberapa kenalan dan pembeli sanggup datang untuk melihat sendiri topi keledar itu.

“Saya menyimpan topi keledar ini untuk kegunaan sendiri dan jika ada yang betul-betul berminat baharu menjualnya.

“Alhamdulillah, dapat jual pada harga RM48,000 walaupun anggaran sebenar boleh mencecah RM70,000.

“Malah pemilik baharu ini masih mencari koleksi yang sama berwarna kelabu. Ia boleh dijadikan aset dalam tempoh jangka masa panjang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, pemilik kedai aksesori permotoran Big Stickers, Mohd Rezuwan Basrah, 29, dia pernah menjual jenis topi keledar yang sama berwarna biru pada harga RM8,200 kepada pelanggan dari Muar, Johor, dua tahun lalu.

“Saya difahamkan topi keledar jenis Shoei Jack adalah model khas dikeluarkan pada 2004/2005. Ia terdiri dari rona merah, kuning, putih, kelabu, biru, perak dan hitam.

“Apabila topi keledar dijual pada harga RM48,000, saya tidak terkejut kerana itulah harga yang perlu dibayar bagi penggemar koleksi barangan edisi terhad. Harganya juga boleh melonjak bila-bila masa.

“Keluaran merah, kuning dan putih adalah amat terhad dalam kalangan edisinya selain tiada pengeluaran menyebabkan ia dicemburui peminat motosikal,” katanya – hmetro