Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal merasmikan Aman BN & Job Fair UTC @Aman BN yang dijadualkan berlangsung di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) pada 20 Mei ini.

Pengarah Komunikasi Strategik Pemuda BN Perak, Mohamad Adli Mohammad Tahiruddin berkata program sehari tersebut bakal memuatkan pengisian padat menerusi tiga segmen utama iaitu Job Fair UTC@Aman BN Perak, Street Fiesta dan Pelancaran Aman BN Perak.

Jelasnya, antara tiga penganjur utama adalah Aman BN,Jobs Perak serta Pusat Kerja Amanjaya (PEKA) yang bakal menawarkan pelbagai peluang keemasan khususnya kepada belia dan mereka yang mencari ruang pekerjaan di seluruh Malaysia.

“Antara yang bakal menarik perhatian adalah Street Fiesta yang bakal menawarkan 5000 peluang pekerjaan, 100 buah gerai pameran daripada agensi tempatan termasuk IPTA/IPTS dan TVET dan pelancaran Portal Jobs Perak 2.0.

“Selain itu, golongan juga pastinya tidak melepaskan peluang menyertai pertandingan 3 by 3 Street Soccer Challenge,Netball, Raga Bulatan, Gunting Rambut Percuma, Food Truck, PS4 Competition dan banyak lagi,” katanya kepada pemberita di Ipoh pada petang Isnin.

Mohamad Adli berkata, program yang julung-julung kali diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak, bersifat dinamik dan lengkap kerana ia meliputi segenap aspek bantuan dana keusahawanan, peluang pekerjaan,skim perumahan dan latihan kemahiran dan banyak lagi.

“Semangat kebersamaan anak muda ini perlu dipupuk sejak awal khususnya dalam mengikuti perkembangan gerak kerja pentadbiran kerajaan hari ini kerana merekalah pelapis dan nadi utama negara satu hari kelak,”ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan seramai 15,000 pengunjung khususnya golongan belia hadir ke Karnival Kerjaya Aman BN.