BAGAN DATUK: Kira-kira 1,000 wakil daripada pelbagai agensi kerajaan dan sekolah-sekolah agama dan tahfiz seluruh negara dijangka menyertai Seminar Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) untuk Sekolah Tahfiz di sini esok (3 Feb).

Seminar peringkat kebangsaan tersebut akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Sekolah Menengah Agama Irshadiah Addiniah.

Zahid yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk akan turut melancarkan buku panduan KKP untuk Sekolah Tahfiz bagi membantu institusi pendidikan agama meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di premis masing-masing.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata seminar sehari tersebut bertujuan meningkatkan kefahaman dan memupuk budaya KKP yang baik di sekolah-sekolah tahfiz.

Ia turut memberi fokus kepada para pengusaha, pentadbir, pengetua, guru dan kakitangan sekolah-sekolah agama dan sekolah tahfiz.

Beliau berkata sekolah-sekolah tahfiz turut terdedah kepada pelbagai risiko keselamatan termasuk kebakaran dan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan dan kematian.

“Antara insiden yang tidak dapat kita lupakan termasuk kebakaran yang meragut nyawa 27 pelajar di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah al-Khairiah al-Halimiah atau Pondok Pak Ya, di Yan, Kedah pada 1989 dan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, pada 14 September 2017 yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru,” katanya.

Ekoran kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, beliau berkata kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (High Level Committee) Pasukan Petugas Khas Sekolah-Sekolah Tahfiz yang dipengerusikan oleh Zahid.

Lee berkata NIOSH turut dijemput menyertai jawatankuasa itu yang berfungsi menyelaras dan memantau pengurusan sekolah agama rakyat, maahad tahfiz dan sekolah pondok di seluruh negara dengan kerjasama kerajaan negeri.

“NIOSH telah diberikan tanggungjawab untuk mengadakan kempen kesedaran secara besar-besaran mengenai KKP untuk sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat, pihak berkuasa tempatan dan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsan (PINTA Kebangsaan),” katanya.

Seminar Pengurusan KKP Sekolah Tahfiz bermula dengan program Peringkat Negeri Selangor pada bulan Oktober, 2017. Program yang sama akan turut diadakan di Johor (Mac 2018), Kedah (April), Terengganu (Mei) dan Sabah (Julai).

Mengenai Buku Panduan KKP untuk Sekolah Tahfiz yang diterbitkan NIOSH, Lee berkata ia turut mengandungi ilustrasi agar mudah untuk difahami dan dilaksanakan dengan baik di semua sekolah tahfiz seluruh negara.