BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya menjaga mulut daripada terus mempertikaikan pemimpin negara atau segala aib dan kepincangan sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri akan didedahkan.

Naib Presiden UMNO yang melaksanakan tugas Timbalan Presiden itu berkata, sebagai manusia biasa, Tun Mahathir juga mempunyai kelemahan dan kesilapan yang dilakukan sepanjang mentadbir negara namun semua itu ditutup oleh UMNO demi menghormati jasa-jasanya.

Bagaimanapun, katanya, tindakan bekas Perdana Menteri mengkritik UMNO dan kerajaan sudah melampaui batas sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah hilang sabar.

Ahmad Zahid juga meminta bekas Perdana Menteri itu tidak bersikap habis madu sepah dibuang sebaliknya mengenang jasa UMNO yang terlalu banyak kepadanya.

Jika tidak suka kepada UMNO sekalipun, ujarnya, Tun Mahathir jangan cuba menghancurkan UMNO dengan tindakkannya yang sering mengutuk UMNO.

“Kalau dia sentuh lagi tentang perlakuan dalam UMNO dan menanamkan sifat kebencian, kita akan lakukan sesuatu yang lebih keras untuk beliau.

“Bukan kita mahu mengumumkan beliau, kita mahu menyatakan kepada rakyat bahawa ada kesilapan yang beliau pernah lakukan.

“Bila zaman kita berlalu, ianya berlalu, biar sejarah menilai, bukan kita mengutuk orang lain,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bagan Datuk di Wisma UMNO Bagan Datuk, Hutan Melintang pada Sabtu.

Menurut Ahmad Zahid, Tun Mahathir akan dihormati jika berkelakuan baik, menjaga batas dan tatasusila serta akhlak dalam politik serta menjaga mulut dengan tidak bercakap yang menyingung perasaan orang lain.

Katanya, sepanjang menjadi Perdana Menteri, pelbagai manfaat yang dinikmati oleh Mahathir dan anak-anak beliau.

Di samping itu, sepanjang era Tun Mahathir beberapa isu besar berlaku seperti skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF), Perwaja Steel yang ditebus semula oleh kerajaan, penubuhan Proton yang akhirnya mengalami kerugian berbilion ringgit namun ia tidak didedahkan.