Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi memberikan bayangan bahawa tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semakin hampir dan bakal dilaksanakan menjelang Mei ini.

Ahmad Zahid, ketika menyampaikan ucapan perasmian Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2018 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk di sini, berkata ianya berikutan siri jelajah itu akan berakhir di Miri, Sarawak pada 2 Mei depan.

“Itu mungkin dah lambat dah. Kalau boleh mintaklah (siri jelajah berakhir) cepat sikit, takut ‘overtaken by event’,” katanya memberikan ulasan ringkas pada majlis perasmian tersebut.

Ahmad Zahid yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk pernah memberi bayangan beberapa kali mengenai tarikh PRU14 akan dilaksanakan sebelum ini.

Pada November tahun lepas, Ahmad Zahid memberi bayangan PRU14 akan dilaksanakan selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Namun Ahmad Zahid sekali lagi memberi bayangan ketika menghadiri Program Mahabbah Sekolah Menengah Agama Maahad Al Islah di Teluk Intan pada Februari lepas bahawa pilihan raya umum kali ini berkemungkinan besar dilaksanakan sebelum Hari Raya Aidilfitri.