BAGAN SERAI – Tiada bahan berbahaya direkodkan susulan tumpahan bahan kimia yang berlaku di Kampung Parit Mentara 3 di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, keputusan itu diperoleh hasil ujian pengesanan menerusi tiga kaedah yang digunakan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat).

Menurutnya, tiga kaedah itu melibatkan kertas pH, GFG 450 dan Gasmed Detection yang pernah digunakan semasa operasi Sungai Kim Kim di Pasir Gudang.

“Menerusi kertas pH tidak memberikan sebarang bacaan yang membimbangkan

“Begitu juga dengan ujian GFG 450 yang dilakukan semalam, ia mampu mengesan empat bahan utama iaitu oksigen, karbon dioksida, metana dan sulfida hidrogen, namun tiada bacaan direkodkan,” katanya.

Beliau berkata, ujian menerusi Gasmed Detection mampu mengesan sehingga 2,500 bahan kimia, tetapi ujian menunjukkan tiada bacaan berbahaya di udara.

“Jika bacaan pada Gasmed ini bertukar dari biru ke merah, maka ada bahan bahaya di udara, bagaimanapun bacaan dari alat pengesan itu tidak menunjukkan sedemikian,” katanya.

JBPM Perak menjalankan operasi kawalan dan pemantauan di lokasi kejadian.

Dalam kejadian sekitar jam 5 pagi semalam, sebuah treler membawa muatan 25,500 liter cecair kimia jenis acetone thinner terbabas dan masuk ke dalam parit di sebelah kanan jalan.

Siasatan mendapati, berlaku kebocoran pada tangki menyebabkan cecair dibawa mengalir keluar dan masuk ke tali air.

JBPM telah mengambil tindakan awal dengan melakukan proses penyejukan di kawasan sekeliling untuk mengurangkan risiko berlakunya kebakaran.

Proses mengalirkan air ke dalam tangki lori turut dilakukan bagi memastikan cecair kimia terbabit berada dalam keadaan terlarut bagi mengurangkan tahap nyalaan atau sambar terhadap bahan itu.

-SinarHarian