“RAMAI boleh buka (parti baharu), sudah jadi macam perniagaan sekarang di Malaysia, kalau tak suka (parti), buka…buka”

Demikian reaksi Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengenai keputusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mahu menubuhkan parti berasaskan orang muda.

Tegasnya, trend politik di negara ini juga dilihat cenderung untuk sewenang-wenangnya menubuhkan parti baharu jia berlaku pergolakan atau ketidaksefahaman dalam parti.

“Ini macam perniagaan sekarang di Malaysia, kalau tak suka buka, buka, buka… kalau kita ada satu jenama itu bukan bermakna mereka tidak boleh buka. Tetapi bolehkah ini membawa kepada ramai lagi pemuda?

“Saya tidak pasti sangatlah, bercakap mengenai parti orang muda ini, bukankah kita sudah ada angkatan di Bersatu, pemuda di Barisan Nasional dan pemuda di Pas dan sebagainya, bagi saya itu sudah mencukupi.

“Bagaimanapun kita tidak boleh halang untuk mereka buka parti baharu, tetapi jangan kita lebihkan kepentingan sendiri.

“Politik mesti ada gambaran lebih besar daripada perseorangan dan jangan buat sesuatu hari ini yang boleh menjejaskan silaturrahim di antara kaum Melayu dan kaum lain di Malaysia,” katanya.

Vigneswaran berkata demikian sebagai mengulas keputusan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengesahkan tidak menyertai bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dalam Pejuang.

Sebaliknya beliau akan menubuhkan parti berasaskan orang muda berbilang kaum.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan program Rakan Mikro di Pusat Konvensyen Sungai Siput pada Ahad.

Vigneswaran menambah, gabungan di antara Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga dilihat sebagai konsep terbaik dalam memastikan kesepakatan sesama parti.

Sebelum ini , keputusan Syed Saddiq itu mendapat reaksi pelbagai dari ahli politik termasuk Tun Mahathir, rata-rata di antara mereka tidak setuju dan kurang yakin dengan keberkesanan parti baharu untuk orang muda itu.