KUALA KANGSAR: Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang diperkenalkan kerajaan sejak 2014 telah berjaya melahirkan seramai 152 usahawan di Perak, termasuk yang berpendapatan tinggi sehingga RM25,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, program itu juga telah mewujudkan 311 peluang pekerjaan baru dengan catatan jualan terkumpul hampir RM4 juta.

Menurut beliau, penganjuran TUBE hasil usahasama 35 rakan strategik di peringkat negeri dan pusat, berjaya meningkatkan penglibatan belia bumiputera di dalam perniagaan di samping melonjak pendapatan dan peluang pekerjaan kepada golongan B40.

“Peserta TUBE dilatih terlebih dahulu untuk menanam jati diri menjadi usahawan yang berdaya maju dan berdaya saing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program TUBE Mega peringkat negeri Perak di Kem PLKN Desa Rimba, Chenderoh dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Perbadanan SME Corp Malaysia, Suhara Salleh, Timbalan Ketua Eksekutif SME Corp, Rithaudden Makip, Ahli Dewan Undangan Negeri Temengor, Salbiah Mohamed dan Pengarah SME Corp Perak, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli.

Seramai 100 usahawan belia bumiputera Perak menjalani latihan selama tiga minggu di kem tersebut sejak beberapa hari lalu.

Peserta yang berjaya menjalani latihan serta mendaftarkan perniagaan, layak menerima geran permulaan perniagaan sebanyak RM15,000 untuk membantu mereka memulakan perniagaan.

Mereka akan dipantau selama setahun melalui sistem ‘buddy’ yang dikendalikan oleh kaunselor SME Corp Malaysia.

Di dalam ucapannya, Samsudin berharap belia yang mengikuti program itu supaya memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan untuk meningkatkan taraf ekonomi mereka.

“Jangan pandang lekeh kerjaya usahawan ini kerana ia adalah sebahagian daripada jihad untuk membasmi kemiskinan, sekaligus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga,” ujar beliau.