SUNGAI MANIK: UMNO akan menubuhkan Biro IT di semua cawangan parti itu di seluruh negara, supaya semua maklumat yang disalurkan, sampai ke akar umbi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Pengerusi Biro IT, Datuk Ahmad Maslan berkata, sebagai permulaan biro di peringkat bahagian diminta memasukkan wakil cawangan sebagai ahli di dalam biro tersebut.

Menurutnya, setakat ini UMNO telah berjaya menubuhkan biro berkenaan di semua 191 bahagian di seluruh negara.

“Apa yang saya harapkan ialah Biro IT di bahagian memasukkan wakil-wakil cawangan dab jika bahagian itu ada 100 cawangan, bererti ada 100 orang menjadi Biro IT Media Sosial di peringkat bahagian.

“Tujuannya, apabila kita menghantar segala maklumat, terus sampai ke cawangan, sebab kita ada wakil-wakil setiap cawangan itu untuk mereka menyebarkan maklumat-maklumat yang kita hantar.

“Jika cawangan boleh wujud, bererti kita ada 20,000 cawangab bererti kita ada 20,000 jentera Biro IT peringkat cawangan,” katanya ketika ditemui pada majlis Kempen Biro IT dan Media Sosial UMNO Bahagian Pasir Salak di Dewan Batu 6 Pekan Rabu Sungai Manik Perak pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyifatkan   Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak lebih telus dan bertanggungjawab berbanding bajet pembangkang.

Menurutnya, bajet yang diumumkan Perdana Menteri sangat jelas sumber pendapatan dan agihannya, sedangkan bajet pembangkang hanya andaian dan tidak nyata.

Dalam masa sama, ujarnya, bajet kerajaan turut melibatkan ramai penerima daripada pelbagai lapisan masyarakat.

“Kaedah pembentangan dengan memecahkan peruntukan-peruntukan kepada seberapa ramai penerima penerima yang berbagai bererti kaedah itu adalah sesuatu yang berkesan dan kaedah itu adalah sesuatu yang terbaik kerana ia menunjukkan satu bajet yang cukup inklusif atau terangkum,” katanya.

Beliau memberi contoh, pemberian RM1,500 telah disenaraikan siapa yang dapat, antaranya penjawat awam, ketua kampung, imam, siak, bilal dan guru KAFA.