IPOH: Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari mencadangkan agar pembentukan kerajaan dapat dilakukan secepat mungkin demi untuk kepentingan rakyat dan negara.

Bagaimanapun, jika usaha itu sukar untuk direalisasikan, beliau mencadangkan agar Parlimen dibubarkan.

Menurutnya, walaupun langkah itu mungkin dianggap asing atau janggal di Malaysia, tetapi ia pernah berlaku di United Kingdom (UK)

“Di UK sebagai contoh, mereka mengadakan tiga pilihan raya dalam masa lima tahun, 2015, 2017 dan 2019 hanya untuk menyelesaikan isu Brexit sahaja.

“Jadi sekarang ni Malaysia lebih penting daripada Brexit iaitu isu kerajaan. Jadi kalau isu, isu politik diselesaikan melalui pilihan raya, mengapa tidak yang lebih penting, seperti di Malaysia dan kita lihat kerajaan sudah tidak ada melalui perletakan jawatan atau melalui penarikan diri daripada gabongan parti.

“Maksudnya kita punyai alasan yang lebih kuat untuk mengadakan pilihan raya, berbanding dengan contohnya di UK tadi yang merupakan model ataupun prototaip parlimentary democracy ataupun westminster democracy,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut Aziz ,
terpulang kepada Yang Dipertuan Agong, Raja-Raja ataupun Yang Dipertuan Negeri untuk menimbangkan cadangan itu.

Tambahan pula, katanya, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka bersedia mengadakan pilihan raya pada bila-bila masa.