JOHOR BAHRU: Tiga sekeluarga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan membekalkan susu rumusan bayi yang menggunakan cap dagangan palsu, tahun lalu.

Yap Kai Chai, 59, menghadapi tiga pertuduhan, masing-masing satu kes bersama adik iparnya, Ling Mei Nar, 42 dan dua kes dihadapi bersama-sama anak lelakinya, Yap Chang Hong, 26.

Semua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi semua tuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Jailani Rahman.

Bagi pertuduhan pertama, Kai Chai dan Ling sebagai rakan kongsi perniagaan TCM Yongtai Lian didakwa menawarkan pembekalan seunit susu rumusan bayi Enfalac A+ Step 1 (1.8 kg) yang baginya suatu perihal dagangan palsu yang digunakan seolah-olah ia adalah cap dagangan yang berdaftar ‘Enfalac’.

Perbuatan itu didakwa dibuat di premis kedai TCM Yongtai Lian di Jalan Utama 34, Taman Mutiara Rini, Skudai di sini, kira-kira jam 1 petang, 7 Disember 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Kai Chai dan Chang Hong sebagai pekongsi perniagaan Kedai Ubat dan Membeli-belah Yong Thye Lian didakwa melakukan perbuatan sama di premis kedai mereka di Jalan Bestari 4/2, Taman Nusa Bestari, Skudai di sini, kira-kira 2 petang, hari yang sama.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 8 (2)(B) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan dagangan atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan terakhir, Kai Chai dan anak lelakinya itu didakwa berada dalam kawalan mereka untuk pembekalan 208 unit susu rumusan bayi terbabit di sebuah lagi kedai perniagaan mereka di Jalan Orkid 17, Taman Seri Orkid, kira-kira jam 4.40 petang, hari yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum dengan Seksyen 8 (2)(B) akta sama.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh, manakala semua tertuduh diwakili peguam C S Lim.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi proses representasi pada 23 Mac ini – berita harian