SEPANG: Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang baru dilantik Ogos lalu berdepan tugas berat ketika sektor penerbangan berdepan krisis terburuk, berikutan penularan COVID-19.

Permintaan global bagi perjalanan udara dijejaskan oleh penutupan sempadan antarabangsa bagi membendung penularan COVID-19 sejak awal tahun ini.

Ia memberikan impak yang begitu besar kepada syarikat penerbangan dan pengendali lapangan terbang di seluruh dunia.

Memandangkan lapangan terbang adalah infrastruktur paling asas kepada mana-mana kerajaan untuk mengukuhkan pembangunan sosio-ekonomi, krisis terbabit memberikan cabaran getir kepada bekas Menteri Besar Perak itu mengemudikan MAHB dan pada masa sama memastikan bahawa sektor penerbangan tempatan kekal sebagai pemangkin penting aktiviti ekonomi Malaysia.

Sektor itu menyumbang 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2019.

“Sebagai infrastruktur penerbangan nasional, lapangan terbang kami tetap perlu kekal beroperasi. Walaupun kita mendengar ada syarikat penerbangan yang runtuh berikutan pandemik ini, penutupan lapangan terbang bukan satu pilihan yang boleh difikirkan untuk negara ini,” katanya kepada BH dan New Straits Times (NST), baru-baru ini.

Ia temubual pertama Zambry bersama media sejak dilantik tiga bulan lalu.

“Semua pihak mesti bekerjasama untuk mencapai pemulihan lebih pantas. Kerjasama dengan syarikat penerbangan, rakan runcit dan kerajaan adalah penting untuk membolehkan kami pulih dan mengekalkan semua perniagaan berkaitan lapangan terbang,” katanya.

Zambry berkata, sokongan kerajaan adalah penting bagi MAHB supaya dapat membantu syarikat penerbangan dan rakan runcit meneruskan kelangsungan daripada pandemik ini.

MAHB menguruskan 39 lapangan terbang di Malaysia termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Ia turut memiliki dan menguruskan Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen di Turki, yang dinamakan sebagai lapangan terbang kelima paling sibuk di Eropah oleh Pertubuhan Keselamatan Penerbangan Udara Eropah bulan lalu.

“Dengan impak dijangka berpanjangan, sokongan diperlukan daripada kerajaan. Ini sejajar dengan gesaan Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) supaya kerajaan seluruh dunia menyediakan sokongan.

“Banyak negara sudah melakukannya termasuk Singapura, Thailand, Indonesia dan Hong Kong. Kami sudah mengemukakan permintaan untuk mendapatkan sokongan,” katanya.

Zambry menambah, terdapat keperluan mendesak mendapatkan pakej bantuan bagi mengekalkan pemulihan jangka panjang lapangan terbang, berikutan kepentingannya sebagai enjin pertumbuhan ekonomi, penciptaan kekayaan serta pekerjaan.

“Lapangan terbang menggajikan, sama ada langsung atau tidak langsung, lebih 6.1 juta pekerja di seluruh dunia, merangkumi 60 peratus keseluruhan pekerjaan dalam sektor penerbangan.

“Ini memberikan manfaat langsung ekonomi dan masyarakat kepada komuniti tempatan, negara dan serantau di mana mereka berkhidmat,” katanya memetik perangkaan ACI.

Beliau menjelaskan, selain mengharapkan sokongan kerajaan, MAHB akan meneruskan inisiatif yang sudah dilaksanakan bagi menyokong rakan niaganya termasuk moratorium sewa bulanan untuk peruncit dan pakej bantuan untuk syarikat penerbangan.

“Sebagai contoh bantuan bayaran sewa. Kami memperuntukkan RM22 juta untuk dimanfaatkan 650 peruncit kecil dan sederhana menerusi rebat pembayaran sewa bagi tempoh enam bulan tahun ini.

“Ia tidak akan berakhir di situ di mana MAHB akan terus membantu peruncit kami menerusi model sewaan runcit baharu pada Januari tahun depan,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada inisiatif Airports 4.0 untuk mengubah KLIA ke arah lapangan terbang digital, MAHB memperkenalkan platform e-dagang shopMYairports untuk membantu peruncit mengembangkan pasaran di luar lapangan terbang.

“MAHB juga telah memperkenalkan Program Menghubungkan Semula Rangkaian untuk rakan syarikat penerbangannya bagi memudahkan perjalanan semula laluan penerbangan.

“Di bawah program ini, syarikat penerbangan akan mendapat insentif aeronautik berdasarkan jumlah penumpang yang mereka bawa,” katanya.