LENGGONG 18 Sept. – Yayasan Pelajaran MARA (YPM) akan meneruskan khidmat bakti dengan memberikan bantuan kepada para pelajar khususnya dari luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah menerusi program Tuisyen Rakyat@KKLW.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, objektif utama program ini adalah untuk menyediakan kemudahan kelas bimbingan tambahan secara percuma kepada pelajar di kawasan luar bandar untuk meningkatkan tahap penguasaan mata pelajaran teras dan pencapaian akademik sebagai pemangkin kecemerlangan modal insan.
“Sehingga 2017 terdapat sebanyak 162 pusat tuisyen itu di seluruh negara. Daripada jumlah itu sebanyak 147 pusat memberi fokus kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 15 pusat kepada UPSR,” katanya di sini semalam.
Menurutnya, penglibatan korporat dalam Tuisyen Rakyat@KKLW amat diperlukan kerana ia akan membantu memperbanyakkan lagi pusat tuisyen rakyat yang akan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar, khususnya yang tinggal di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, YPM juga mempunyai beberapa program lain bagi membantu kelangsungan pelajar Bumiputera seperti skim anak angkat dan Tabung Lonjakan Pendidikan Melayu dan Bumiputera (TANJAK) yang bertujuan membantu mengumpul dana bagi keperluan pendidikan golongan itu.
Tanjak menetapkan enam skop sasaran penyumbang iaitu daripada komuniti MARA, komuniti KKLW, syarikat korporat, syarikat milik kerajaan (GLC), syarikat swasta dan Majlis Agama Islam Negeri.
“Tabung yang diasaskan untuk memperbaiki taraf hidup golongan Bumiputera itu boleh dianggap sebagai jihad memerangi keciciran pendidikan masyarakat luar bandar, khususnya bagi golongan yang tidak berkemampuan.
“Tanjak diharap dapat menjadi penyelesaian permasalahan membabitkan keciciran pendidikan yang masih membelenggu masyarakat Melayu Bumiputera,” ujarnya.
Dalam pada itu, syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad buat julung kalinya tampil menaja program Tuisyen Rakyat@KKLW tahun ini.
MRSM Lenggong dan MRSM Bentong dipilih sebagai pusat tuisyen bagi membantu calon-calon SPM khususnya di luar bandar untuk mengikuti program tersebut secara percuma.
Ketua Perhubungan Kerajaan Celcom Axiata Berhad, Areehan Abdullah berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan sambutan daripada pelajar selepas memantau perkembangan program itu dari semasa ke semasa.
“Tuisyen Rakyat@KKLW merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami. Kami bukan sahaja menaja program tuisyen ini tetapi juga kem motivasi selama tiga hari dua malam yang diadakan di MRSM ini.
“Sememangnya Celcom Axiata Berhad amat menekankan kepentingan pendidikan dan kami berharap dapat memperluaskannya pada tahun depan,” katanya ketika ditemui selepas menutup program tuisyen tersebut di MRSM Lenggong di sini, semalam.
Di MRSM Lenggong, sebanyak 100 pelajar di empat buah sekolah berhampiran, mengikuti program tuisyen tersebut melibatkan lima mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik dan Matematik Tambahan.
Peserta berkenaan terdiri daripada pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Ahmad, SMK Tan Sri Abdul Aziz, SMK Sultan Azlan Shah dan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Lenggong.
Program tersebut yang bermula sejak April lalu diisi dengan 15 sesi tuisyen di bawah kendalian guru-guru cemerlang.
Peserta tuisyen turut mendapat bimbingan daripada 20 orang mentor yang juga merupakan pelajar MRSM Lenggong.
Program itu juga memberi fokus kepada empat komponen utama iaitu teknik belajar secara berkesan, mengulang kaji pelajaran, teknik menjawab soalan peperiksaan dan motivasi.
Pada tahun ini, YPM menetapkan sasaran menarik seramai 17,900 pelajar untuk mengikuti Tuisyen Rakyat@KKLW di 179 pusat di seluruh negara.
Sementara itu, Ketua Pembangunan Dana YPM, Zainal Rashid Zakaria berharap pelajar yang mengikuti tuisyen itu akan menterjemahkan inisiatif penajaan Celcom Axiata Berhad itu dengan mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kelak.
“Anak-anak inilah akan mewarisi kepemimpinan negara. Oleh itu, realisasikanlah harapan ibu bapa kerana program ini secara tidak langsung bertujuan meningkatkan pencapaian anak Melayu,” katanya.
-Utusan Online