LUMUT – Pejabat Agama Islam Daerah Manjung menahan tujuh lelaki beragama Islam kerana tidak berpuasa dalam operasi dijalankan sejak 1 Ramadan sehingga Jumaat lalu di sekitar daerah Manjung.

Ketua Penguatkuasa Agama Daerah Manjung, Hafez Rezal Abd Manan berkata, operasi dijalankan di beberapa kedai makan termasuk di Sitiawan, Kampung Koh, Pantai Remis, Beruas dan Kampung Jering.

Katanya, kesemua lelaki ditahan berumur 45 tahun ke atas.

“Kebanyakan mereka makan di kedai makan orang bukan Islam untuk dijadikan lokasi kaki ponteng dan ia juga sering menjadi lokasi serbuan setiap tahun.

“Kami turut menasihati beberapa individu yang tidak berpuasa dengan kebanyakannya berumur lebih muda supaya tidak mengulangi perkara sama,” katanya.

Hafez Rezal berkata, kesemua ditahan disiasat mengikut Seksyen 24 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya juga menjalankan operasi mengikut Seksyen 56 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 ke atas wanita yang berpakaian menjolok mata di sekitar bazar Ramadan.

“Turut dijalankan operasi pengutip derma bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Setakat ini semua pengutip derma mempunyai permit cuma ada yang melanggar syarat dan kami memberikan teguran dahulu,” katanya yang memaklumkan operasi dijalankan turut mendapat kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Manjung. – Bernama