BAGAN SERAI: Tujuh lelaki, termasuk seorang pelajar berusia 14 tahun ditahan pihak berkuasa agama kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan solat berjemaah di sebuah surau di sini, kelmarin.

Pegawai Tadbir Agama Daerah Bagan Serai, Mokhlis Husain, berkata, kesemua mereka ditahan kira-kira jam 9.15 malam selepas selesai menunaikan solat Isya berjemaah di surau Parit Husain, dekat sini.

Menurutnya, tujuh anggota dari Pejabat Agama Daerah (PAD) bersama-sama anggota polis menyerbu surau berkenaan setelah mendapat maklumat dari orang awam.

“Ketika tiba didapati mereka sedang menunaikan solat Isya dan anggota bertindak menahan mereka setelah selesai mengerjakan solat.

“Tiada jemaah yang melarikan diri dan mereka yang ditahan majoritinya tahu tentang larangan solat berjemaah yang tidak boleh melebihi tiga orang iaitu imam, bilal dan seorang makmum,” katanya dihubungi media.

Menurutnya, kesemua mereka yang berusia antara 14 hingga 64 tahun kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob dihubungi berkata satu sidang media akan diadakan ada Isnin berhubung kejadian itu serta keseluruhan tangkapan ingkar PKP di Kerian.