Alor Setar: Penyokong Bolasepak Kedah melahirkan rasa kecewa dengan corak logo baharu Darulaman FC (DFC) yang tersebar selepas Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor memaparkan sekali imbas gambar logo berkenaan pada satu sidang media hari ini.

Jurucakap Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) yang mewakili 25 kelab penyokong Kedah, Mohd Safarizal Mohd Sobri berkata, pihaknya mendapati banyak komen yang kurang berpuas hati dikalangan penyokong dan netizen selepas logo baharu yang daftarkan untuk DFC itu terpapar dan tular di media soaial sejak petang tadi.

“Kami agak terkejut dengan pengumuman yang dibuat KFA tadi berkaitan logo berkenaan dan ramai memberi komen menyatakan kurang berpuas hati dengan logo yang dipaparkan itu.

“Rata-rata peminat dan penyokong yang saya hubungi melahirkan rasa kurang setuju dengan gambaran logo berkenaan kerana mereka berpendapat logo ini terlalu ringkas atau terlalu ‘simple’ dan mereka mahukan logo yang lebih garang bersesuaian dengan imej pasukan Kedah yang mempunyai reputasi tinggi dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Mungkin KFA berada dalam keadaan tergesa-gesa untuk menyiapkan logo ini bagi melengkapkan proses lesen penswastaan kelab yang digariskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Safarizal juga berkata, jika kelab baharu yang didaftarkan ini mahu kelihatan maju ke hadapan, maka DFC perlukan satu logo yang jauh lebih baik daripada yang dipaparkan itu.

“Kami berharap pihak KFA dapat mendengar rintihan daripada kelab-kelab penyokong Kedah untuk mengubah logo yang lain supaya nampak logo itu nampak lebih baik, garang dan lebih menarik.

“Saya mewakili GULM berharap selepas Kedah mendapat lesen daripada FAM melibatkan penswastaan ini, kami meminta pihak DFC membuat pertandingan mencipta logo dan ia dibuka kepada kelab penyokong atau individu yang mempunyai kemahiran mencipta logo ini.

“Kita masih mengharapkan supaya perkara logo ini diperhalusi dan akhirnya dapat memuaskan hati penyokong,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Muhammad Sanusi Md Nor dalam kenyataan dilaman Facebooknya menyatakan pihaknya mendapati ramai dikalangan penyokong bola sepak Kedah yang menghantar cadangan logo untuk dipertimbangkan pihak pengurusan DFC.

“Ramai peminat pasukan Kedah hantaq mai (hantar) minta pilih logo-logo ini, Insya-Allah akan dipertimbangkan.

“Pada peringkat ini, Kedah kena ‘settle’ (selesai) dulu keperluan untuk pendaftaran FC mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh FAM. Cadangan dan pandangan sentiasa dialu-alukan,” katanya.