SERI MANJUNG – Semua pengusaha ladang ternakan ayam di negeri ini diberi tempoh sehingga Disember 2021 untuk menukarkan sistem penternakan terbuka kepada pernternakan tertutup atau bakal berhadapan dengan tindakan tegas.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional negeri Perak, A. Sivanesan berkata, pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi arahan berkenaan bagi memastikan tiada lagi aduan masyarakat berkenaan gangguan lalat serta bau busuk.

“Selepas Disember 2021 tiada lagi ternakan ayam menggunakan reban terbuka dan kerajaan negeri kini berikan tempoh dua tahun untuk mereka tukar kepada sistem tertutup sama seperti ternakan khinzir diberikan tempoh sama.

“Sekiranya pengusaha ini mempunyai masalah untuk menukar sistem kepada pernternakan tertutup kerana masalah modal mereka boleh menggunakan inisiatif yang dicadangkan kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan ayam milik syarikat Dinding Poultry Development Centre Sdn Bhd (DPDC) di Segari, hari ini.

Menurut Sivanesan cadangan berkenaan adalah pemilik ladang ternakan ayam boleh menukarkan status mereka daripada pertanian kepada penternakan bagi membolehkan memohon pinjaman bank untuk melaksanakan sistem penternakan tertutup.

“Pengusaha kecil ini juga boleh berbincang serta memohon pertolongan daripada pemain-pemain utama industri ternakan ayam di negeri ini yang mempunyai tiga syarikat besar untuk membantu mereka.

“Mana penternak yang tak boleh tukar sistem ini saya nasihatkan mereka kerjasama dengan pemain utama industri atau jual sahaja kepada mereka. Jika tidak boleh juga, mereka boleh tutup ternakan kerana jika tidak masalah lalat dan bau busuk tidak akan selesai walaupun 25 tahun akan datang,” katanya.

Sivanesan berkata, setakat ini terdapat 415 ladang ternakan ayam di negeri ini dengan jumlah ternakan melebih 37.1 juta ekor dan daerah Manjung merupakan daerah terbanyak mempunyai ladang ternakan ayam.

“Di Manjung sahaja mempunyai 183 ladang ternakan ayam dan daripada jumlah tersebut hanya 87 ladang ternakan bersamaan 47.5 peratus mengamalkan sistem ternakan tertutup manakala bakinya 96 ladang lagi mengamalkan sistem ternakan terbuka sehingga 2018.

“Hampir 53 peratus masih lagi mengamalkan sistem ladang terbuka dan kerana itu isu lalat di Manjung ini tidak selesai sejak dahulu lagi dan pihak kerajaan negeri memandang serius untuk memastikan daerah ini bebas dari gangguan lalat dan bau busuk,” katanya – sinar harian