Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BATU GAJAH: Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan penemuan empat tengkorak dan tulang manusia di dalam tempayan di kawasan bukit Kampung Baru Nalla, Tronoh dekat sini.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohd Nasri Omar juga mengesahkan, tulang-tulang itu yang sebahagiannya ditemui berselerakan, telah reput dan dipercayai telah berada di lokasi itu selama berpuluh-puluh tahun.
Katanya, laporan kimia daripada pihak patologi juga tidak boleh menyatakan usia tulang berkenaan secara tepat.
“Terdapat kesan tanah pada tulang-tulang tersebut dan dipercayai ia pernah tertanam dalam tanah sebelum ini.
“Kami tidak menolak kemungkinan bahawa ianya daripada kubur lama yang dikorek secara tidak sengaja.
“Laporan awal menunjukkan bahawa tulang-tulang itu tidak lengkap untuk empat manusia dan ada beberapa bahagian tulang yang lebih daripada sepatutnya,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada petang Rabu.
Jelasnya, polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa kesemua tengkorak dan tulang manusia yang ditemui dalam tempayan di kawasan bukit itu dipindahkan dari tempat lain untuk disemadikan di lokasi berkenaan.
Semalam, tempayan dan tengkorak itu ditemui pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan kerja di sebatang tiang elektrik di lokasi berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.
Mohd Nasri berkata, siasatan awal di lokasi mendapati keempat-empat tempayan itu diletakkan di antara dua tiang elektrik di atas puncak bukit yang dikelilingi bekas ladang sawit selain terdapat lombong lama yang hampir 17 tahun tidak beroperasi serta jirat Cina yang jaraknya kira-kira 10 kilometer (km) dari lokasi tempayan terbabit ditemui.
Beliau berkata, hasil siasatan awal dan temubual penduduk mengesahkan bahawa tiada aktiviti pemujaan dan kegiatan jenayah berlaku di kawasan itu kerana kedudukannya yang agak terpencil daripada perkampungan mereka.
“Penduduk kampung yang berketurunan Cina memaklumkan ada kemungkinan terdapat aktiviti pemindahan tulang nenek moyang atau saudara mara yang telah lama meninggal dan ditempatkan di lokasi yang mempunyai ‘feng shui’ yang baik,” katanya.