KAMPAR: Polis mengesahkan serpihan tulang yang ditemui di Gua Kandu, Gopeng, Perak pada Sabtu lalu adalah tulang manusia.

Pengesahan awal itu adalah hasil bedah siasat terhadap serpihan tersebut di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, spesimen darah salah seorang ahli keluarga peserta Gopeng Ultra Trail yang hilang sejak 23 Mac lalu, Mohammad Ashraf Hassan, telah diambil untuk ujian Asid Deoksiribonukleik atau DNA.

“Serpihan tulang bersama spesimen darah tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya bagi tujuan perbandingan DNA.

“Keputusan ini dibuat untuk memperlihatkan perkaitan di antara penemuan tulang ini dengan kes kehilangan Encik Mohammad Ashraf bin Hassan atau Acap memandangkan lokasi tulang ini dijumpai adalah dalam radius atau lingkungan kawasan pencarian dan juga berhampiran dengan track perlumbaan GUT 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di pejabatnya di Kampar pada Selasa.

Katanya, ujian DNA itu adalah bagi mengetahui siapakah sebenarnya pemilik serpihan tulang berkenaan.

Menurutnya, keputusan ujian DNA itu dijangka diketahui dalam tempoh satu hingga dua bulan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihak polis akan berusaha untuk mendapatkan keputusan itu lebih awal daripada itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, operasi mencari Mohammad Ashraf masih diteruskan oleh orang kampung dalam skala yang lebih kecil.