IPOH: Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain menegaskan sebarang hebahan kononnya kes Exco Perak, Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya telah ditutup adalah tidak benar.

Razarudin berkata, susulan itu pihak polis telah menjalankan siasatan terhadap pemilik Facebook Fahaizal Zee kerana membuat fitnah terhadap Ketua Polis Perak dengan menyatakan Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah dibebaskan”.

“Pihak polis mendapati orang ramai masih mempercayai dan menularkan bahawa kes ini ditutup oleh pihak pendakwaan selepas mendapat arahan dari Jabatan Peguam Negara.

“Orang ramai mendakwa pihak polis tidak menjalankan tugas penyiasatan dengan baik sehingga menyebabkan kes tidak dapat diteruskan.

“Dimaklumkan bahawa pihak peguam YB Yong telah menghantar representasinya kepada peguam negara tetapi permohonan itu ditolak dan mengarahkan Pengarah Pendakwaan negeri Perak meneruskan pendakwaan terhadap kes ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tegasnya lagi, tindakan akan diambil terhadap mana-mana individu yang menyebarkan kononnya kes ini telah ditutup.

“Pada 30 Januari (Khamis), pihak polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998/ Seksyen 500 Kanun Keseksaan/ Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan terhadap pemilik Facebook Fahaizal Zee.

“Ia berikutan fitnah terhadap Ketua Polis Perak dengan menyatakan Exco Perak didakwa rogol pembantu rumah dibebaskan,” katanya.

Ujarnya lagi, perbicaraan kes Exco berkenaan telah ditetapkan pada 10 hingga 14 Februari depan, persiapan rapi dan kawalan keselamatan di kawasan mahkamah akan dilakukan di sepanjang perbicaraan berlangsung.