SLIM RIVER: Empat lelaki yang tular di media sosial kerana memaki anggota polis Jumaat lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang penjawat awam.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh, P Panneerselvan, 32; S Vijandran, 41; A Sivakumar, 28 dan R Durai Raaj, 25, tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam Bahasa Melayu dihadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menghalang Muhd Syahrul Azuwan Abd Manaf menjalankan tugasnya sebagai pegawai polis apabila dengan sengaja tidak memberi kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar di samping gagal mengemukakan kad pengenalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River, pada jam 3.30 pagi, 16 Oktober lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober ini sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan jurubahasa Tamil.

Dalam prosiding sama, Durai Raj turut didakwa atas tuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip ‘vest’ polis milik pegawai sama di lokasi dan masa yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), A Puvanasvary.