IPOH: Klinik Kesihatan Manjoi beroperasi seperti biasa pada jam 3.35 petang pada Selasa setelah ditutup sementara waktu bagi tujuan langkah pencegahan menerusi dekontaminasi (menghilangkan kuman dan pencemaran).

Ia susulan laporan terdapat seorang pesakit yang datang ke klinik itu dan berjumpa dengan salah seorang Pegawai Perubatan di bilik pemeriksaan.

Menurut Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming, hasil pemeriksaan mendapati pesakit memberitahu sejarah perjalanan ke negara Jepun pada 27 Februari hingga 8 Mac lepas.

“Pesakit telah memberi sejarah gejala demam tanpa gejala pernafasan, namun pemeriksaan klinikal mendapati dia tidak demam 36 darjah celcius.

“Setelah merujuk kepada Pakar Perubatan Infeksi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh, pesakit diklasifikasikan sebagai ‘Pts Under Investigation’ (PUI) B dan telah dihantar ke HRPB untuk siasatan lanjut.

“Klinik Kesihatan Manjoi telah ditutup sementara waktu bagi tujuan langkah pencegahan melalui dekontaminasi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, klinik tersebut sudah beroperasi seperti biasa pada jam 3.35 petang tadi.

Ujarnya lagi, pegawai perubatan dan salah seorang anggota bersama pegawai telah melakukan langkah pencegahan proaktif melalui ‘self-isolation’ sehingga keputusan ujian pesakit PUI B diketahui.

Terdahulu, timbul suasana panik di laman sosial Facebook dan aplikasi Whatsapp kononnya tular ada suspek Covid-19 yang terlepas masuk ke dalam dewan klinik tersebut.

Menurut mesej tersebut, buat sementara waktu kaunter pendaftaran ditutup kepada orang ramai dan pesakit lain di arah ke klinik berdekatan.