PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui pembubaran Parlimen bagi membolehkan pilihan raya diadakan tidak sesuai dilaksanakan pada masa ini berikutan isu COVID-19.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, untuk mengadakan pilihan raya juga memerlukan kos yang besar sedangkan kerajaan kini kena berhadapan dengan penularan COVID-19.

“Sukar untuk melaksanakan apa yang boleh dilakukan ketika pilihan raya seperti sebelum ini. Misalnya, kita tidak lagi dapat berkempen dan menghimpunkan orang ramai.

“Jika pilihan raya diadakan ramai yang akan menderita,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Yayasan Kepemimpinan Perdana di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan beberapa pihak supaya Parlimen dibubarkan apabila pembangkang mendakwa mendapat majoriti di Parlimen kini.

Dr Mahathir juga ragu-ragu dengan jumlah sokongan yang didakwa diterima Pakatan Harapan dan kerajaan kerana ia tidak kekal.

“Kadang-kadang kita dapat majoriti tetapi kemudian hilang dan muncul serta hilang semula,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan beliau meminta kuasa DAP dilemahkan ketika PH mentadbir, beliau berkata kerajaan terpengaruh dengan dakyah di bawah Datuk Seri Najib Razak yang menuduh DAP cuba melemahkan orang Melayu.

“Mustahil DAP dapat mempengaruhi Kabinet kerana jumlah mereka hanya enam orang (menteri) sama banyak dengan wakil BERSATU di dalam barisan jemaah menteri,” katanya.

Ditanya mengenai mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU semalam, katanya beliau tidak dijemput walaupun mendakwa masih Pengerusi parti.

“Saya lihat cara (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) adalah menggugurkan mereka yang tidak sehaluan dengannya, manakala yang akur dengan beliau dilantik dan diberikan jawatan termasuk mereka yang baru masuk parti diberikan jawatan penting dalam parti dan kerajaan,” katanya. -BH