KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad bercadang mahu menubuhkan sebuah parti politik selepas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berpecah dua.

Beliau berkata, banyak orang Melayu suka tubuh parti politik, oleh sebab itu beliau juga mahu berbuat demikian.

Secara sarkastik, beliau menambah, nama parti itu ialah Parti AAD atau Parti Apa Aku Dapat dengan tujuan memperkaya orang Melayu yang belum dapat.

Menurut Dr Mahathir, beliau akan melantik pegawai dalam badan-badan yang akan ditubuh khusus untuk memenuhi hasrat memberi pendapatan yang lumayan kepada mereka yang belum dapat dan yang ingin dapat banyak lagi.

Sesiapa yang belum mendapat pendapatan lumayan boleh buat permohonan untuk jadi ahli, atau Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden dan lain-lain lagi.

Tiada yuran dikenakan, katanya.

Posting yang berbaur sindiran itu mendapat 3,700 ‘like’.

Meskipun begitu, rata-rata netizen ‘memulangkan paku buah keras’ kepada Dr Mahathir.

Seorang netizen, Saiful Adli berkata: “Perli la lagi kat org melayu..tahniahh..teruskan..penulisan serupa bola tanggung utk dismash..cantekk”.

Rahmat BenAbdullah pula menambah: “Kalau duduk diam-diam berehat kat rumah menikmati hari tua, xde nya org melayu berpecah buat bnyk parti baru”.

Manakala pengikutnya, MyZaidy Yusoff berkata: “Saya fikir ini bukan tulisan seorang bertaraf negarawan. Kerana pemikiran seorang negarawan tidak seteruk ini. Status ini memaparkan seolah-olah spt org yg sudah mati akal dan gagal. Sungguh keanak-anakan”.

”Level Tun bukan update status mcm ni, berehatlah tun, bgi peluang org lain pulak, dah2 lah nk berpolitik n pecah belahkan Melayu,” kata Amin SA. – MalaysiaGazette