TUN Dr Mahathir Mohamed menafikan memiliki saham dalam kedai roti premium, The Loaf yang menutup perniagaannya selepas beroperasi selama 12 tahun.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau hanya mempunyai 200 unit saham dalam sebuah syarikat tembakau dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Saya hanya ada 200 unit saham dalam sebuah syarikat tembakau dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

“Saham terbabit dianugerahkan kepada saya selepas merasmikan syarikat itu ketika menjadi Perdana Menteri,” katanya yang ditemui selepas ceramah umum di Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam, malam tadi.

Dr Mahathir berkata demikian sebagai mengulas laporan The Loaf menutup perniagaannya selepas beroperasi selama 12 tahun.

Penutupan itu disiarkan menerusi satu notis yang dimuat naik dalam media sosial bertarikh 9 April lalu yang ditujukan khusus untuk pelanggan mereka.

Notis itu bagaimanapun tidak menyatakan sebab mengapa ia ditutup sebaliknya hanya berkata berpuas hati berjaya mencapai objektif utamanya.

Ia turut merakamkan penghargaan kepada semua pelanggannya di atas sokongan diberikan kepada mereka sepanjang 12 tahun -hmetro