SHAH ALAM : Datuk Seri Anwar Ibrahim  tidak mahu terburu-buru mengambil alih jawatan Perdana Menteri kelapan dari Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Malah kata Presiden PKR itu, beliau akan memberi ruang kepada Mahathir untuk mengurus tadbir memulihkan ekonomi negara dengan rakan kabinet supaya peralihan kuasa nanti berlaku dalam transisi yang baik.

“Saya pilih jalan yang aman, tidak mahu berlaku suasana kecoh-kecoh. Saya mahu beri ruang padanya (Mahathir) tadbir urus dengan rakan-rakan kita di kabinet untuk memulihkan ekonomi supaya transisi (peralihan jawatan) itu berlaku dengan baik. Ini pendirian saya.

“Saya minta semua, baik Otai Reformis, ahli-ahli Keadilan agar bersabar kerana keadaan yang tenang dan damai akan memudahkan saya mengambil alih jawatan perdana menteri,” katanya berucap pada Konvensyen Reformis 2019 di IDCC Shah Alam, di sini hari ini.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, dalam Mesyuarat Presiden Pakatan Harapan (MPPH) di Yayasan Perdana di Putrajaya semalam juga, Mahathir dengan jelas menyatakan, beliau perdana menteri ketujuh, (Datuk Seri) Dr Wan Azizah (Wan Ismail) Timbalan Perdana Menteri dan saya perdana menteri kelapan.

Jaminan itu, katanya, sudah jelas dan berharap semua pihak bersabar.

Anwar turut menyatakan, beliau sedikit pun tidak gusar atau rungsing dengan segala tohmahan dari pihak tertentu kononnya ada pemimpin lain yang akan dilantik sebagai perdana menteri menggantikan Mahathir.

Sambil menyifatkan itu suara-suara kecil, beliau berkata, segala tohmahan itu tidak akan memberi kesan kepada peralihan kuasa antara beliau dengan Mahathir apabila sampai masanya nanti.

“Yang akan tentukan saya menjadi perdana menteri kelapan bukan dua tiga kerat pemimpin ini, yang tentukan adalah rakyat,” ujarnya.

Dalam ucapan itu, beliau mengingatkan pemimpin PKR yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri dan orang kanan dalam kerajaan agar tidak melupakan kawan reformis yang berjuang bermati-matian untuk memenangkan parti sehingga berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Pemimpin berkenaan, tegasnya, perlu mempunyai akhlak yang baik dan terpuji kerana tanpanya, mereka tidak akan berada di kedudukan sekarang.

“Perlu ingat, kamu duduk di kerusi enak dan empuk sekarang kerana hasil daripada perjuangan rakan-rakan reformis yang tidak ada apa-apa jawatan dan masih hidup dalam kesengsaraan, miskin.

“Apabila kamu sudah diberi anugerah Datuk, Datuk Seri, Tan Sri dan baharu satu setengah tahun menjadi menteri, kamu sudah sombong. Ini tidak boleh. Perjuangan kita tidak menggalakkan sifat sombong dan ego.

“Kita dari awal berjuang menghapuskan rasuah, menjatuhkan pemimpin BN yang kaya raya hasil merompak harta negara, apabila tiba giliran kita menjadi kerajaan, kita lupa diri,” katanya. – MalaysiaGazette