JOHOR BAHRU: Seramai 12 daripada 15 pegawai belia dan sukan yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, semalam, direman selama lima hari.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Hajar Ali di sini, hari ini, terhadap semua suspek berusia 30-an hingga 50-an itu selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar.

Suspek membabitkan sembilan lelaki dan tiga wanita terbabit direman bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Baki tiga suspek ditahan terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan SPRM, semalam.

Semalam, SPRM dalam satu kenyataan media berkata, 15 pegawai belia dan sukan terbabit ditahan susulan tangkapan pada 1 Oktober lalu.

Katanya, hasil siasatan mendapati suspek disyaki bersubahat dengan kontraktor untuk membuat tuntutan palsu berkaitan kerja penganjuran Program Liga Sukan bagi semua daerah di negeri ini.

Menurut kenyataan itu lagi, penganjuran program berkenaan didakwa dilakukan di Ledang, Mersing, Muar, Batu Pahat, Kulai, Pontian, Kluang, dan Kota Tinggi sepanjang 2015, namun ia tidak dilaksanakan.

Jumlah keseluruhan tuntutan palsu terbabit melebihi RM90,000, manakala kesemua suspek ditahan adalah pegawai belia dan sukan yang bertugas di pejabat belia dan sukan daerah di Johor.

Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang jika sabit kesalahan, boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada mana lebih tinggi, dan penjara hingga 20 tahun – berita harian