ARAU : Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyifatkan stesen televisyen TV3 bersifat tidak adil terhadap beliau kerana menyiarkan ulasannya dalam dalam Bahasa Mandarin menerusi laporan Buletin Utama malam tadi, sehingga mencetuskan kemarahan ramai pihak.

Sehubungan itu, Nie Ching menuntut TV3 memberi penjelasan berhubung isu tersebut memandangkan dalam sidang akhbar di sebuah program sama semalam, beliau juga telah memberi ulasan dalam Bahasa Malaysia.

Jelasnya, beliau sememangnya mengulas dalam Bahasa Malaysia sebelum diminta oleh wartawan NTV7 untuk mengulangi kenyataannya itu dalam Bahasa Mandarin.

“Tetapi saya pun tidak faham mengapa TV3 hanya keluar kenyataan saya dalam Bahasa Mandarin sedangkan saya mengulas dalam Bahasa Malaysia sebelum itu. Itu tidak adil bagi saya dan saya minta TV3 ambil tindakan dan sepatutnya menjelaskan perkara itu.

“Sidang akhbar tersebut sememangnya dilakukan dalam Bahasa Malaysia tetapi ada wartawan dari NTV7 minta saya bagi ulasan dalam Bahasa Mandarin untuk ulang apa yang saya sebut sebelum itu. Saya hanya bantu mereka, tidak salahkan?

“Kenapa TV3 nak guna kenyataan saya dalam Bahasa Mandarin. Saya ada rekod memberi ulasan dalam Bahasa Malaysia terlebih dahulu dan kenapa tidak gunakan jawapan saya dalam Bahasa Malaysia itu untuk siaran berita Buletin Utama itu,” soalnya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Bangunan Baharu sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) Simpat Empat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu bercakap dalam Bahasa Mandarin seperti tersiar di Buletin Utama yang tular di media sosial malam tadi.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, dakwaan bahawa beliau tidak menggunakan Bahasa Malaysia dalam memberikan kenyataan adalah tidak benar sama sekali.

– UTUSAN ONLINE