MYCAR, aplikasi E-Hailing terbaharu di Malaysia mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan pemandu Uber, terutamanya sejak pengumuman Uber memberhentikan operasi mereka bermula 8 April baru-baru ini.

Ketua Pegawai Operasi Platform Apps Sdn Bhd, Mohd Noah berkata, setakat ini mencecah hampir dua ribu lebih pemandu didaftarkan di mana MyCar telah membuka pendaftaran di seluruh Malaysia melalui pendaftar-pendaftar pemandu yang dilantik di seluruh Malaysia.

“Sehubungan itu, MyCar akan membuka kaunter pendaftaran di Ibu Pejabat MyCar di Setia Alam, Shah Alam sehingga jam 11.00 malam setiap hari untuk memudahkan pemandu membuat pendaftaran selepas waktu pejabat.

“Di samping itu mereka yang jauh boleh mendaftar dengan menghubungi pendaftar MyCar seperti yang dinyatakan dalam laman rasmi Facebook MyCar di www.facebook.com/mycar.net.my.

“MyCar bersedia untuk menerima lebih banyak tempahan dari pengguna di seluruh Malaysia dan ia terbukti apabila MyCar adalah pilihan utama bagi pemandu Uber berhijrah selain daripada syarikat gergasi Grab,” katanya. – Sinar Online