UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) mengimbangkan portfolio simpanan tanahnya dengan memeterai perjanjian jual beli dengan Lagenda Properties Bhd untuk menjual sebahagian daripada tanah tidak strategiknya di Tapah, Perak yang berkeluasan 252.15 hektar, bernilai RM29.9 juta.

Dalam kenyataan hari ini, ia memaklumkan penjualan itu dijangka selesai pada Ogos 2021.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata penjualan tanah di Tapah itu sama seperti yang dilakukan oleh syarikat itu di Iskandar Puteri di samping cadangan syarikat untuk menggunakan hasil berkenaan bagi membiayai pembelian tanah baharu seiring strateginya untuk mengimbangkan portfolio simpanan tanah.

“Strategi kami untuk mempelbagaikan dan meningkatkan kehadiran kami di Lembah Klang sentiasa menjadi fokus utama. Selama ini, kami telah menjual tanah yang tidak strategik di Iskandar Puteri, memanfaatkan hasil itu untuk membeli tanah baharu di Lembah Klang,” katanya.

Syarikat itu masih memegang kira-kira 4694.35 hektar termasuk lebihan tanah pertanian yang berkeluasan 721.15 hektar dengan nilai pembangunan kasar yang dianggarkan mencecah RM107 bilion.

Keseluruhan tanah di Tapah termasuk yang dijual kepada Lagenda Properties menyumbang 20 peratus daripada keseluruhan jumlah simpanan tanah UEM Sunrise

-BERNAMA