Petaling Jaya: Polis menahan lelaki dan tunangnya kerana memeras ugut seorang wanita untuk menyebar gambar bogelnya dalam dua serbuan berasingan di Sungai buloh dan Sea Park, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kedua-dua suspek berusia 22 dan 23 tahun itu didapati melakukan pemerasan terhadap seorang wanita berusia 22 tahun pada 31 Mei lalu.

“Suspek meminta wang RM1,000 jika tidak mahu gambar bogelnya tersebar, mangsa kemudian membuat pemindahan wang ke dua akaun sebanyak RM300 dan RM400.

“Pada 1 Jun lalu mangsa kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa ada memberi gambar bogel kepada bekas teman lelakinya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, bagaimanapun telefon pintar milik teman lelakinya itu dilaporkan hilang sejak Mac lalu.

“Siasatan mendapati suspek adalah rakan kepada bekas teman lelaki mangsa, manakala wanita berkenaan adalah tunang suspek.

“Suspek lelaki itu menggunakan akaun tunangnya untuk tujuan pemindahan wang,” katanya.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut.

“Suspek wanita ditahan reman selama tiga hari manakala perintah tahanan reman suspek lelaki akan dipohon hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan,” katanya.

77