KUALA LUMPUR : Universiti Teknologi MARA (UiTM) menafikan menghalau penuntut yang datang untuk mendaftar di kampusnya hari ini seperti yang didakwa segelintir pihak di media sosial.

Naib Canselor, Prof Datuk Ir Dr Mohd Azraai Kassim, berkata sebaliknya mereka diberi pilihan sama ada untuk tinggal di kolej atau pulang semula ke rumah, susulan penangguhan pendaftaran secara fizikal bermula hari ini.

Katanya, kekeliruan dan kesulitan yang dihadapi penuntut berlaku disebabkan salah faham berpunca daripada maklumat yang tidak tepat diperoleh mereka.

“Saya tegas menafikan kenyataan yang mengatakan bahawa kita menghalau para pelajar seperti yang didakwa. Malahan, kita mendekati para pelajar yang telah mendaftar lebih awal untuk membantu mereka susulan arahan penangguhan ini,” kata Mohd Azraai dalam satu kenyataan malam ini.

Katanya, UiTM telah mengeluarkan pekeliling yang berkaitan untuk menangani arahan penangguhan pendaftaran para penuntut.

“Pekeliling Naib Canselor Bil. 24/2020 yang dikeluarkan pada Jumaat jelas menyatakan penangguhan itu dibuat semata-mata untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pelajar tetap terpelihara,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata UiTM tetap memandang serius aduan dan rungutan penuntut yang tular dalam media sosial, justeru akan menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

“UiTM tidak akan mengambil mudah dengan sebarang isu yang dibangkitkan kerana dalam suasana semasa, kita amat memahami sebarang kemungkinan, kesulitan dan kekeliruan yang timbul,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu, penuntut yang mempunyai masalah diminta segera berhubung dengan bilik gerakan di kampus masing-masing.

Mengulas mengenai isu UiTM tidak menanggung kos sepanjang penginapan penuntut sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku, Mohd Azraai menegaskan ia bukan kenyataan rasmi UiTM.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) amat prihatin dengan kekeliruan dan kesulitan yang dihadapi pelajar susulan penangguhan pendaftaran secara fizikal yang dikuatkuasa