CHENDERONG BALAI: Umat Islam mesti menjaga perpaduan dan mengenepikan perselisihan sesama sendiri, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau menggariskan beberapa ciri Amal Jama’i yang perlu menjadi pegangan dan panduan di dalam kehidupan.

Menurut beliau, antara ciri itu ialah taat kepada pemimpin, bekerjasama, saling nasihat menasihati dan hormat menghormati.

“Umat Islam mesti bekerja bersama-sama, jangan berpecah belah dan cah keting sesama sendiri,” katanya ketika berucap di Karnival Mahabbah bersama institusi agama Islam negeri Perak di pekarangan Masjid Simpang Empat di sini pada Jumaat.

Program sempena Permukiman Menteri Besar itu turut dihadiri Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman dan beberapa anggota Exco kerajaan negeri.

Antara pengisian Peogram Mahabbah ialah taklimat keselamatan, forum halal, pameran rakyat dan pameran agensi kerajaan.

Sempena majlis itu, seramai 200 warga miskin di sekitar Chenderong Balai menerima bantuan beras.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Dr Zambry berkata, selepas empat hari permukiman, aktiviti yang dirancang berjalan dengan baik dan mendapat sambutan baik daripada masyarakat setempat.