KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, kata beliau, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen Perikatan Nasional (PN).

“Sebagaimana diketahui umum, UMNO dan BN bukan merupakan parti komponen PN.

“Sokongan kepada kerajaan PN merupakan sokongan dari Ahli-Ahli Parlimen sahaja.

“UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar bagi menyatakan hasrat beliau,” katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Ahmad Zahid berkata, ramai Ahli Parlimen UMNO dan BN telah menyuarakan sokongan.

Namun, Ahmad Zahid bagaimanapun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk sokongan itu.

“Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu Anwar dalam sidang media tergempar hari ini mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan pada saat ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh.