KUALA LUMPUR: Bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan, UMNO menggesa agar gencatan politik dilakukan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO mengambil pendirian untuk mendokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara mendepani COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Menurut beliau, UMNO turut mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet memberikan sepenuh tumpuan pada usaha untuk membantu dan meringankan beban yang ditanggung rakyat akibat kesan ekonomi dan pandemik COVID-19.

“Kerjasama semua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik saat negara menghadapi ancaman COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Baru-baru ini, tular surat yang ditandtangi Zahid dan disokong oleh Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi sokongan kepada Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke sembilan.

Namun ibu pejabat UMNO menafikan kesahihan surat memberikan sokongan kepada Anwar itu.