LENGGONG: UMNO Lenggong tidak akan memandang mudah ancaman yang bakal diberikan mana-mana calon daripada pembangkang termasuklah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dijangka bertanding di kawasan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Timbalan Ketua Bahagiannya yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, walaupun bahagian tersebut merupakan kubu kuat UMNO namun pihaknya tetap akan melipat gandakan usaha memastikan kerusi-kerusi di bawah parlimen itu kekal milik Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak boleh katakan kita 100 peratus yakin walaupun ini kubu kuat BN, apa pun kita akan terus bekerja kuat memastikan Parlimen Lenggong dan dua kerusi DUN kekal milik Barisan Nasional.

Ini kerana ini memang amalan biasa, kita bekerja tidak mengikut musim.

“Kita juga tiada halangan untuk siapa-siapa bertanding di sini (Lenggong) kerana ini negara demokrasi, malahan kita juga menjangkakan wujud tiga penjuru pada PRU-14 nanti,” katanya.

Beliau menjawab mengenai ura-ura strategi pembangkang meletakkan calon daripada parti PPBM bagi kerusi Parlimen Lenggong pada PRU-14 nanti.

Pada PRU-13, Kerusi Parlimen Lenggong dimenangi Shamsul dengan undi majority 3,453 setelah mengalahkan Razman Zakaria daripada PAS.

BN juga mengekalkan dua kerusi DUN Kenering dan Kota Tampan.

Dalam masa sama, beliau yang yakin pegundi di kawasan yang mempunyai majoriti 90 peratus melayu itu akan bersikap matang serta memilih calon tepat pada PRU-14 nanti.

“Dari segi track record BN di kawasan ini cukup membanggakan, pelbagai pembangunan yang telah dibawa selama ini namun jika dibandingkan dengan PPBM?

“Mereka baru dua atau tiga bulan sahaja masuk ke sini, sebelum ini tidak pernah wujud pun justeru pilihan untuk pengundi adalah jelas iaitu calon BN,” ujar beliau.

Ahad lalu, Ketua Setiausaha Sektretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi Parlimen seluruh negara. Lenggong difahamkan antara salah satu daripada kerusi tersebut.

Sementara itu, mengulas pemilihan Tun Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri pihak pembangkang, Shamsul Anuar berkata terdapat pelbagai kepincangan dalam keputusan berkenaan.

“Adakah mereka (pembangkang) yakin Mahathir akan memberikan jawatan itu kepada Anwar Ibrahim selepas dia dibebaskan? Adakah mereka pasti beliau tidak mempunyai agenda tersendiri selepas menjadi Perdana Menteri?

“Sekiranya betul Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri, adakah ini bermaksud negara akan mempunyai sepasang suami isteri yang menjawat dua jawatan tertinggi negara dan apa pula pandangan negara luar,” soalnya.