IPOH, 3 JAN: Keputusan sama ada UMNO akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi masih belum lagi diputuskan.

Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman berkata, perkara itu masih dibincangkan di peringkat tertinggi parti.

“Setakat ini perbincangan masih lagi sedang dilakukan di peringkat pusat.

“Jadi, sebarang keputusan untuk bertanding di DUN itu atau tidak adalah bergantung kepada hasil perbincangan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO bahagian Ipoh Timor di Bangunan UMNO Perak di sini, hari ini.

Sementara itu, Azian berkata, UMNO kini telah mula menggerakkkan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Pada PRU ke-14, kerusi DUN Tebing Tinggi telah dimenangi oleh Ketua Pembangkang, Dr. Abdul Aziz Bari dari DAP dengan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Khoo Boon Chuan dan Mazlan Md Isa (Pas).