IPOH : Perhubungan Umno Perak meminta seluruh pimpinan dan ahlinya supaya bertenang dan menerima pelantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang baharu.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan itu adalah sesuatu yang telah ditentukan Allah.

“Sesungguhnya, perjuangan kita tidak terhenti di sini, sebaliknya mesti diteruskan dengan penuh ketabahan dan kebijaksanaan dalam menyusun langkah ke hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menyeru supaya pimpinan dan ahli Umno supaya patuh kepada keputusan yang dibuat Badan Perhubungan Umno negeri dari semasa ke semasa.