PETALING JAYA: Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, dan bekas ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin, berkata parti itu perlu mempersiapkan calon perdana menteri sendiri untuk pilihan raya umum akan datang.

Namun, mereka berdua berkata teka-teki sekarang tentang siapa dalam parti yang layak menjadi perdana menteri.

“Kalau anda tanya apakah Umno ada seorang calon? Tidak. Sudah tentu, sekarang ini tiada orang yang boleh saingi Muhyiddin Yassin. Itulah masalah kita sekarang. Itulah sebabnya kita perlu bina semula parti dan tinggalkan masa lampau. Itulah yang saya cuba sampaikan.

“Kita sokong Muhyiddin kerana beliau perdana menteri sekarang, tapi kita perlu rancang untuk selepas itu,” kata Khairy kepada Channel News Asia dalam satu temubual.

Tengku Razaleigh berkata parti itu akan mencalonkan salah seorang pemimpinnya sebagai perdana menteri untuk pilihan raya umum ke-15.

“Masalahnya sekarang ini siapa yang akan diangkat? Kita harap Umno akan capai konsensus dengan rakan-rakannya untuk mengangkat seseorang yang boleh memimpin negara dan boleh diterima ramai,” katanya dalam temubual berasingan.

Khairy berkata ini menunjukkan Umno perlu beralih daripada bekas presidennya, Najib Razak, berikutan pensabitan bersalah dalam perbicaraan berkaitan unit 1MDB, SCR International.

Beliau mahu Umno dikemudi generasi baharu.

“Biar generasi baharu seperti Hishammuddin Hussein, Ismail Sabri Yaakob, saya, Reezal Merican, dan beberapa yang lain – biarkan kami yang pimpin parti,” katanya.

Beliau menambah sudah jadi rahsia terbuka Najib merancang untuk kembali sebagai presiden parti, mengatakan ramai orang mahu beliau kembali ke jawatan itu.

Sementara itu, seorang wakil rakyat PPBM, Redzuan Yusof beritahu CNA beliau tidak nampak sesiapa pun dalam Umno yang mempunyai kualiti seorang perdana menteri.

Beliau juga mengingatkan presidennya, Muhyiddin melaksanakan tugasnya dengan baik sejak mengambil alih jawatan itu pada Mac.

Katanya, rakyat mula nampak kualiti kepimpinan Muhyiddin dan kemampuannya untuk memimpin negara menuju kemakmuran.