LENGGONG: UMNO telah menyediakan manual Pilihan Raya Umum ke 14 untuk mempersiapan ahli parti dari peringkat akar umbi seperti cawangan dan pusat daerah mengundi (PDM bagi menghadapi PRU14.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mempengerusikan jawatankuasa penyediaan manual itu berkata, Majlis Tertinggi telah memberi mandat agar bengkel manual berkenaan diadakan di bahagian-bahagian.

Menurutnya, Lenggong menjadi bahagian pertama yang mengadakan bengkel mengenai gerak kerja dan persiapan untuk menghadapi PRU14 itu.

“Yang penting ialah jentera kita mesti disesuaikan mengikut suasana hari ni, sebab itu kita tidak boleh ambil mudah pengundi-pengundi sasar, kita mesti dikenalpasti ahli-ahli UMNO, keluarga mereka, mereka yang perlu dipujuk, termasuk veteran-veteran kita, termasuk guru-guru kita, peneroka-peneroka FELDA.

“Sasaran kita juga golongan muda mungkin terpengaruh dengan macam-macam dakyah dan tuduhan, khususnya dari melalui sosial media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutup Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lenggong di dewan Maktab Rendah Sains MARA Lenggong, di sini pada Ahad.

Hishammuddin berkata, PRU14 penting kerana ia bukan sahaja menentukan lanskap masa depan politik negara tetapi juga berkait rapat dengan soal keselamatan, keamanan dan kedudukan negara dalam dunia yang cukup mencabar sekarang.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri akan melakukan lawatan kerja empat hari ke UAE, Arab Saudi dan Bahrain untuk mendengar sendiri daripada pemimpin negara-negara itu apa sebenarnya yang berlaku di Timur Tengah.

Sementara itu di dalam ucapannya, Hishammuddin yakin dengan perpaduan dan kerja kuat kepimpinan dan ahli UMNO di Lenggong, ketiga-tiga kerusi Parlimen Lenggong, Dewan Undangan Negeri Kota Tampan dan Kenering akan dapat dipertahankan pada PRU14.

Di majlis itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM1.2 juta untuk cadangan pembinaan kem Wataniah, infrastruktur di dua kawasan penempatan baharu dan lampu insyarat di kawasan Lenggong.