IPOH, 29 DIS : UMNO Perak menawarkan kerajaan baharu dengan konsep dan lanskap politik yang baharu, untuk memenuhi cita rasa orang muda agar mereka terus yakin dengan sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad, ia juga diharap dapat meyakinkan generasi muda bahawa UMNO sedang membuat perubahan ke arah politik yang lebih matang.

Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, antara perubahan yang dilakukan ialah memberi peruntukan sama rata RM200,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan dan pembangkang, yang belum pernah dilakukan sebelum ini.

“Kita memahami bahawa lanskap politik telah berubah, apatah lagi apabila kerajaan Malaysia telah bersetuju untuk menurunkan umur pengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan kita memahami bahawa aspirasi, kaedah, cara orang muda dengan orang lama agak berbeza.

“Kita juga melihat dan mengikuti dengan semangat politik yang baik iaitu politik matang bila kita mendengar ada kajian dibuat yang mengatakan bahawa orang muda ingin melihat perubahan,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada mahasiswa terkesan COVID-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Menurutnya, selain daripada peruntukan yang sama, wakil rakyat pembangkang juga diberi peluang untuk menghadiri mesyuarat tindakan daerah, jawatankuasa kumpulan fokus dan jawatankuasa bencana yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

Katanya, selaras dengan aspirasi orang muda, kerajaan sedar bahawa perubahan-perubahan perlu dilakukan kerana wakil rakyat pembangkang juga dipilih oleh rakyat.

Berdasarkan kajian oleh Pusat Masa Hadapan di Universiti Cambridge, golongan anak muda kini tidak lagi berpuas hati dengan sistem demokrasi sedia ada jika dibandingkan dengan generasi-generasi sebelumnya.

Kajian yang diterbitkan Oktober lalu itu mendapati, generasi millennium yang berusia 18 hingga 34 tahun menunjukkan penurunan yang ketara dalam minat dan kepercayaan terhadap sistem demokrasi.

Dalam pada itu, Saarani berkata, pemimpin politik perlu mengambil kira pelbagai pandangan sebelum terus mendesak supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan segera.

Menurutnya, antara pandangan itu ialah keperluan sebuah kerajaan yang stabil dan pandemik COVID-19.

Katanya, jika mengambil kira keperluan sebuah kerajaan yang stabil untuk menarik pelaburan dan meningkatkan ekonomi, pilihan raya itu memang wajar diadakan.

“Tetapi harus diingat bahawa kita ada kekangan lain iaitu COVID-19. Pengalaman kita di Sabah menunjukkan bahawa tak dapat dinafikan kesan daripada PRN Sabah apabila diadakan secara terbuka boleh berkempen, boleh berhubung, boleh berkunjung rumah ke rumah, boleh bertepuk tampar, boleh berselfi, calon pun ada kena COVID sebab calon kalau tak layan selfi, tak dapat undi.

“Jadi, akibat itu kita terima lah bahawa kebangkitan gelombang ketiga COVID itu barangkali sedikit sebanyak disumbangkan oleh PRN Sabah,” ujarnya.

Menurutnya, mengambil kira apa yang berlaku di Sabah, darurat telah diisytiharkan di Parlimen Gerik, Perak dan Bugaya, Sabah, sekali gus pilihan raya di kedua-dua kerusi itu ditangguhkan.

Saarani berkata, jika mengambil kira pandangan itu, bermakna pilihan raya mungkin tidak dapat diadakan kerana yang penting ialah untuk memastikan kesihatan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negara.

Beliau bimbang, jika pilihan raya diadakan, selepas itu akhirnya kerajaan, rakyat dan ekonomi akan runtuh kerana penularan COVID-19.

Gambar – Komunikasi Strategik Perak – Official