KUALA LUMPUR – UMNO tidak pernah berhasrat untuk masuk ke Sarawak.

Itu penegasan presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu yakin dengan parti-parti tempatan di Sarawak.

“UMNO yakin dengan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu), sementelahan GPS (Gabungan Parti Sarawak) telah dibentuk untuk merangkumkan ketiga-tiga parti lain yang dahulunya dalam BN (Barisan Nasional).

“UMNO doakan agar GPS akan terus membentuk kerajaan negeri bila PRN (Pilihan Raya Negeri) diadakan kelak,” katanya dalam Twitter, hari ini.

Semalam pada satu acara di Kuching, Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg yang juga Ketua Menteri Sarawak menegaskan bahawa beliau tidak akan membenarkan UMNO masuk ke Sarawak.

Beberapa tahun lalu, satu kajian yang diketuai oleh penganalisis politik, Jeniri Amir mendapati berdasarkan 10,000 responden di seluruh Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum, 92 peratus tidak bersetuju parti yang diterajui Ahmad Zahid itu menyebarkan sayapnya ke Sarawak.

Sarawak kini diketuai oleh Abang Johari yang mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri pada 13 Januari 2017 bagi menggantikan Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Januari tahun sama.

GPS yang kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan merupakan bekas parti komponen BN yang terdiri daripada empat parti politik tempatan iaitu PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP). – MalaysiaGazette